RM35.00
Format: Hardcover
ISBN-13: 978-967-5137-91-5
Tarikh Terbit: 7 Jan 2010
Jumlah Muka Surat : 496
Berat: 0.75
*********************************
Kandungan buku ini elok dan sesuai sebagai pembacaan bagi golongan yang baru mengenali Islam dan yang mahu mengetahui dengan lebih lanjut lagi tentang riwayat hidup seorang nabi dan rasul. Bukan semua pembaca suka membaca buku-buku ilmiah tentang Islam yang agak berat dengan istilah Arab. Sebagai seorang saudara baru, bentuk penulisan seperti buku ini akan dibeli dan dibaca." - Aliya Yeoh, pendidik -
“Membaca sirah beliau nyata membuka pemikiran dalam konteks perencanaan strategi pentadbiran. Kebijaksanaan beliau bersama sahabat nyata memukau pengkaji-pengkaji pengurusan strategik. Mungkin satu penulisan khusus boleh dilakukan oleh mereka yang berminat.” - Prof. Dr. Muhd Kamil Ibrahim, pengarah UiTM Segamat & penulis bestseller Travelog Haji -
“Dapat dibaca dan dihayati oleh semua peringkat usia. Inilah buku sirah terbaik yang pernah ditulis untuk mereka yang baru mengenali nabi.” - Zamri Zainal Abidin, penerbit Duniaku Buku, radio IKIM.fm -
“Buku ini bukan sahaja wajar dijadikan hadiah kepada bukan Islam, malah kepada remaja Islam hari ini yang lebih mengenali ikon-ikon hiburan berbanding Nabi Muhammad.” - Maizura Ederis, Majalah Millenia Muslim -
“Pengarang berjaya membawa karya ilmuan tentang sejarah Islam ke tahap yang mampu mengatasi novel-novel cinta dan karya popular di pasaran! Gaya penulisan bahasa Melayu yang mudah difahami, olahan yang menarik, selain perjalanan cerita yang mudah diikuti menjadikan buku ini sesuai dibaca dan dihayati oleh pelbagai peringkat umur. Terasa seperti membaca sebuah novel walaupun hakikatnya ia sebuah karya bersifat ilmiah dan sesuai menjadi bahan rujukan.” - Lelucon, blogger -
*********************************
REVIEW 1
Setiap nabi dikurniakan dengan mukjizat yang sesuai dengan zamannya dan mengatasi kehebatannya kaumnya. Nabi Musa diberikan mukjizat tongkat yang bertukar menjadi ular hingga dapat mengalahkan Firaun dan ahli sihirnya. Nabi Isa pula dikurniakan dengan kemampuan menghidupkan orang yang sudah mati, sesuai dengan kaum pada zamannya yang hebat dalam ilmu perubatan.
Rasul junjungan kita pula, Muhammad s.a.w dikurniakan dengan mukjizat yang agung, iaitu Al-Quran yang sangat indah bahasanya. Ketinggian bahasa Al-Quran menundukkan kehebatan para penyair Arab yang terkenal dengan syair-syair yang bisa memukau para pendengar. Itulah kehebatan bahasa dan bahasa sangat berkuasa. Bahasa yang indah seolah-olah mempunyai tempias mukjizat yang mampu mempengaruhi minda dan menyentuh hati manusia. Mahakarya agung ciptaan manusia terletak pada bahasa yang mengungkapkannya.
Memahami hakikat ini, keindahan dan kelancaran bahasa adalah kekuatan utama bagi sesebuah buku. Justeru, sebuah buku yang bercerita tentang kehidupan Rasulullah, terlebih utama perlu menggunakan bahasa yang indah sehingga mampu membuakkan kecintaan kita kepada Rasulullah. Oleh sebab inilah, buku Biografi Muhammad Bin Abdullah ditulis dengan bahasa yang mudah dan indah. Kekuatan buku ini adalah pada bahasanya.
Biografi Muhammad Bin Abdullah adalah buku sirah yang terbaik untuk mengenali Rasulullah. Menghayati kisah hidup nabi dalam buku sangat mengasyikkan. Novel-novel cinta yang popular sekalipun tidak mampu memberikan kenikmatan yang setara dengan nikmatnya membaca buku ini. Kita teruja untuk menghabiskan ayat demi ayat, helaian demi helaian buku ini, daripada muka surat pertama hinggalah ke muka surat terakhir. Inilah biografi kekasih yang teragung dan kisah cinta yang paling indah di dunia.
Buku ini adalah rakaman sirah yang lengkap tentang Rasulullah. Buku ini bermula dengan kisah-kisah ajaib yang berlaku sebelum kelahiran baginda. Sebagaimana peristiwa kelahiran baginda membawa sinar kebahagiaan ke seluruh dunia, buku ini juga berjaya membuatkan para pembaca asyik dalam penceritaan yang amat menarik. Namun, apabila tiba detik Rasulullah menghembuskan nafas terakhir, kita akan tenggelam dalam kesedihan dan hanyut dalam kerinduan kepada kekasih agung, Rasulullah s.a.w.
Babak demi babak seluruh kehidupan Rasulullah diceritakan dengan baik sekali. Penceritaannya mampu menggugah emosi pembaca. Inilah bahan bacaan yang terbaik sebagai pelengkap kepada karya sirah tentang Rasulullah s.a.w.
*********************************
REVIEW 2
Salah satu keistimewaan al-Quran adalah bahasanya yang indah. Bahasa yang digunakan untuk menyampaikan berita-berita gembira dapat memberikan ketenangan dan keseronokan. Tatkala ancaman azab yang disampaikan, bahasanya dapat menggentarkan jiwa-jiwa yang lalai. Saat membaca al-Quran, kita dapat merasakan Tuhan sedang berkata-kata dengan kita. Sesungguhnya, inilah karya agung yang terindah, diungkapkan pula dengan bahasa yang indah.
Begitu juga karya-karya tulisan manusia. Kehebatan satu-satu karya adalah pada bahasa yang mengungkapkannya. Bahasa bukan sekadar medium untuk membentangkan fakta dan menyampaikan cerita semata-mata. Mencuit akal dan menyentuh hati manusia, itulah peranan bahasa yang sebenarnya.
Bahasa sangat berkuasa. Menyedari hakikat ini, kekuatan bahasa perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Oleh sebab inilah, buku Biografi Muhammad Bin Abdullah ditulis dengan bahasa yang mudah. Kekuatan buku ini adalah pada bahasanya.
Biografi Muhammad Bin Abdullah adalah buku sirah yang terbaik untuk mengenali Rasulullah. Catatan sejarah silam dan kehidupan Muhammad Bin Abdullah diolah dalam bentuk cerita yang menarik. Inilah buku sejarah Islam yang mampu mengatasi novel-novel cinta dan karya popular di pasaran. Dengan gaya penulisan yang santai, pembaca jadi asyik membacanya kerana jiwa mereka dirangsang untuk mengetahui kesudahan cerita dalam buku ini.
Buku ini adalah rakaman sirah yang lengkap, bermula daripada kelahiran Muhammad sehinggalah detik-detik kematiannya. Seluruh kota Mekah bergembira dengan kelahiran Muhammad. Namun, apabila tiba detik Muhammad menghembuskan nafas terakhirnya, seluruh alam seolah-olah terpaku, masa terhenti, dan suasana menjadi hening. Babak demi babak ini diceritakan dengan baik sekali. Penceritaannya menggugah emosi pembaca.
Lebih banyak lagi kisah dan rakaman sirah yang tercatat dalam buku ini. Raikan kasih Rasulullah dan suburkan cinta kepada Muhammad dengan Biografi Muhammad Bin Abdullah.
*********************************
REVIEW 3
Sebelum Muhammad dilahirkan, ibu baginda iaitu Aminah mengalami satu mimpi yang ajaib. Aminah melihat dirinya melahirkan seorang anak lelaki. Bersama-sama anak lelaki itu, keluar satu cahaya yang menerangi seluruh bumi. Aminah juga melihat dirinya berdoa,
“Aku berlindung kepada Tuhan yang Esa supaya anak ini diselamatkan daripada semua orang yang dengki kepadanya.”
Semasa mengandungkan Muhammad, Aminah tidak merasa penat atau sakit. Muhammad dilahirkan dalam keadaan sujud dan sudah berkhatan. Muhammad lahir pada hari Isnin, 12 Rabiulawal Tahun Gajah. Mengikut ahli sejarah, kelahiran ini berlaku 50 hari selepas peristiwa Abrahah dan tentera bergajah dihancurkan oleh Allah dengan rejaman batu-batu yang panas daripada burung Ababil.
Banyak perkara pelik yang berlaku semasa kelahiran Muhammad. Hasan Bin Thabit, penyair Rasulullah menceritakan,
“Pada hari itu, aku berada dalam majlis orang-orang Yahudi Madinah. Seorang ulama Yahudi memanjat bumbung rumahnya sambil menjerit kepada semua orang, 'Bintang Ahmad muncul di langit.'”
Bintang ini hanya muncul apabila Muhammad dilahirkan.
Apabila Muhammad dilahirkan, Iwan Kisra iaitu istana Raja Farsi bergegar. Gegaran itu meruntuhkan 14 anjung istana dan memadamkan api sembahan orang-orang Majusi yang tidak pernah padam sejak beribu-ribu tahun. Tasik Sawwah yang berhampiran istana Raja Farsi juga tertimbus disebabkan gegaran itu. Kejadian ini adalah petanda kepada kejatuhan Farsi, kerajaan yang terbesar pada masa itu.
Peristiwa ajaib yang berlaku ketika kelahiran Muhammad ini diceritakan dengan lebih terperinci dalam buku Biografi Muhammad Bin Abdullah, buku sirah yang terbaik untuk mengenali Rasulullah.
*********************************
REVIEW 4
Muhammad diberi pilihan untuk hidup kekal di dunia atau meninggal dunia seperti manusia biasa. Hal ini dijelaskan dalam dialog baginda dengan sahabatnya, Abu Muwaihibah semasa baginda dan Abu Muwaihibah menziarahi perkuburan Baqi'.
“Wahai Abu Muwaihibah. Aku diberi pilihan antara diserahkan kepadaku segala kekayaan dunia semuanya dan aku kekal di dunia kemudian aku masuk syurga. Ataupun aku bertemu dengan Tuhanku dan kemudian aku masuk syurga.”
Abu Muwaihibah berkata, “Wahai Muhammad. Pilihlah kami.”
Muhammad berkata, “Tidak, wahai Abu Muwaihibah. Aku memilih bertemu dengan Tuhanku dan syurga.” Kecintaan kepada Allah memenuhi hati Muhammad.
Tidak lama kemudian, Muhammad diserang sakit kepala yang amat sangat. Kesakitan para nabi adalah seperti kesakitan dua orang biasa.
Kemudian Muhammad diserang demam panas yang sangat kuat. Menurut Abu Said al-Khudri, sahabat yang meletakkan tangannya ke dahi Muhammad, “Aku tidak tahan meletakkan tanganku di atas dahi Muhammad kerana terlalu panas. Belum pernah aku melihat orang demam panas sampai begitu.”
Pada pagi 12 Rabiulawal, sakit Muhammad semakin kuat. Peluh keluar mencurah-curah dari kepala baginda. Aisyah menyapu muka baginda dengan air untuk meredakan kesakitan baginda. Muhammad berkata, “Wahai Aisyah. Sesungguhnya mati itu mempunyai sakarat (kesakitan).”
Pada saat kematiannya, Muhammad mengulang-ulang satu kata-kata, seolah-olah baginda diberi pilihan lagi untuk kali terakhir, sama ada memilih hidup kekal di dunia atau segera bertemu dengan Allah. Muhammad berkata, “Bahkan teman sejati di Syurga. Bahkan teman sejati di syurga.”
Aisyah berkata, “Ketika Muhammad mengulang-ulang kata-kata itu, kepalanya terlentok ke bahuku. Pandangannya mendongak ke langit. Roh Muhammad sudah keluar dari jasadnya untuk bertemu dengan Allah. Aku meletakkan kepada Muhammad ke bantal, lalu aku menangis. Semua ahli keluarga Muhammad yang perempuan juga menangis. Tangisan kami dapat didengari sehingga ke luar rumah.”
Apabila tiba detik Muhammad menghembuskan nafas terakhirnya, seluruh alam seolah-olah terpaku, masa terhenti, dan suasana menjadi hening. Saat kematian Muhammad ini diceritakan dengan lebih terperinci dalam buku Biografi Muhammad Bin Abdullah, buku sirah yang terbaik untuk mengenali Rasulullah.
*********************************